Cuti

Salam 'alaykum :')

Lupa nak habaq. Blog bercuti dari sebarang post sebab ikut puasa sama. hehe 
in shaa Allah will update later.

Mungkin sedang berhibernasi. Ya mungkin juga bermeditasi. #eh


Profesion Yang "Tercemar"

Salam 'alaykum!

Tajuk entry yang mungkin sedikit kontroversi. Ya. Mengaku awal-awal. Entry kali ini memang kontroversi. Profesion apa yang tercemar itu? Apa yang anda fikirkan? Tercemar dari segi apa? Tenaga manusia? Produk dari profesion tersebut? Atau profesion itu sendiri yang tercemar?

Allah izinkan untuk sama-sama menyertai program sekolah-sekolah. Program bersama adik-adik dari sekolah menengah serata Malaysia. Mereka ini semuanya berbeza. Ada yang berbeza watak dan gaya. Ada yang berbeza pemikiran dan pandangan. Paling menarik, ada yang berbeza minat dan kesukaan. Mereka dari sekolah yang berbeza latar belakang. Keluarga juga berbeza latar belakang. Sangat yakin bahawa persekitaran mereka saling berbeza. Tak kisahlah antara setiap pelajar dengan pelajar yang lain mahupun antara sekolah dengan sekolah yang lain.

Perbezaan ini buat aku berfikir. Pasti guru di sekolah-sekolah ini berbeza corak dan teknik mengajar. Pasti begitu kreatif menangani pelajar yang banyak ragam dan kerenah. Ya. Aku memang sentiasa memandang tinggi pada guru. Faktor utama? Aku terinspirasi dengan didikan guru-guru sewaktu di sekolah dahulu. Mereka tidak merendahkan ketidakupayaan aku. Mereka membina keyakinan aku. Mereka tidak pernah putus asa mendidik dan mengajar aku hatta perkara paling sukar untuk aku fahami. Moga Allah merahmati mereka dan memberi ganjaran yang selayaknya atas jasa mereka.

Kenapa aku katakan profesion guru tercemar? Mungkin atas hasil pemerhatian aku pada sikap guru di beberapa sekolah yang aku kendalikan program bersama mereka. Ada guru yang kononnya 'sporting', 'cool' dan 'open-minded'. Bertepuk tampar dengan pelajar, bersembang dan bergurau ibarat kawan-kawan, piat telinga pelajar, cubit-cubit 'mesra' pelajar dan macam-macam lagi aksi 'cool' guru yang aku lihat. Wah! bagi aku itu sangat tidak 'cool'. Ya. Memang benar mahu rapat dengan pelajar. Namun, tidak wujudkah pendekatan yang lebih mesra selain cubit dan piat telinga sekalipun guru mahu bergurau atau marah? Tidak bolehkah dekati pelajar dengan sentuhan yang lebih mesra dan penuh kasih? Sentuh bahu mereka. Paut dan salurkan kata-kata nasihat. Ingat cara wahyu pertama diturunkan? Nabi s.a.w tak tahu. Jibril a.s peluk baginda Nabi s.a.w berkali-kali hingga baginda ingat.

Ada juga guru yang seolah menjatuhkan keyakinan diri pelajar. Bagaimana? Tanyakan soalan yang sudah tentu kebanyakannya tidak tahu. Anda guru yang sudah lama bersama pelajar. Anda lebih mengenali bagaimana pelajar anda. Seharusnya anda bertanyakan soalan yang kebanyakan mereka tahu. Bukan soalan yang mereka tak tahu kemudian memprovokasi mereka. Contoh. Pelajar anda ini kebanyakannya lemah dalam matapelajaran matematik. Tak perlulah anda tanya soalan matematik yang tahapnya tinggi sedikit dari tahap pelajar anda. Aku yakin pelajar ini bila ditanya soalan, mereka begitu semangat mahu menjawab. Bersungguh mereka cuba berfikir untuk menjawab. Cuba bayangkan pula bila soalan itu mereka tidak dapat jawab. Apa mereka rasa atau fikirkan? "Susahlah soalan ni" "Aku memang tak pandai matematik" "Matematik ni memang susahlah. Patut aku tak lulus" "Malaslah nak fikir. Kalau jawab pun salah". Sudahlah mereka tidak boleh jawab. Guru pula gunakan pendekatan "Ini pun awak tak tahu? Macam mana nak dapat A subjek ni" "Dah berapa kali saya ajar. Kenapa awak susah sangat nak ingat?" "Tu la. Awak asyik ponteng kelas saya, main-main. Memang wajarlah awak tak tahu". Nampak tak situasinya? Bagi aku, itu ujian yang Allah beri pada guru untuk buat anak murid faham. Maka guru seharusnya menjaga lisan supaya tidak menyebut perkara yang tidak elok kepada pelajar. Seolah mendoakan mereka pula. Ingat Allah senang-senang nak bagi kita berjaya tanpa diuji? Sebab tu Allah takdirkan guru ini mengajar pelajar yang mungkin sedikit lambat faham atau dengan pelajar yang 'hyperactive'. Kreatiflah guru dalam menangani pelajar yang pelbagai. Jangan terlalu bangga dengan kelayakan yang anda ada. Lepasan IPT dalam negara atau luar negara itu hanya atas kertas. Yang benar-benar memperlihatkan kredibiliti guru itu adalah saat pelajar menghormati, menyayangi dan menerima apa yang disampaikan tanpa membantah. Belajar juga akan jadi lebih seronok!

Aku tahu tugas guru bukan mudah. Aku pernah bertugas sebagai guru untuk sebentar. Pelajar memang berbeza antara satu sama lain. Aku juga pernah jumpa pelajar yang tidak mempunyai keyakinan langsung untuk berjaya. Sasaran dalam peperiksaan besar juga sekadar "Asalkan lulus pun saya dah syukur kak". Sedih. Jujur aku sedih. Mana hilang kebergantungan mereka pada Allah. Mana pergi semangat yang tidak mahu menyerah sebelum berjuang? Aku tiupkan semangat. Aku cuba bina keyakinan dirinya. Aku kaitkan teori-teori yang aku ingat dan menjadi salah satu perangsang saat aku jatuh dengan janji-janji Dia dalam kitab suci. Alhamdulillah ada yang mula bangkit. Ada yang mesej minta nasihat. Aku simpulkan pelajar sebegini sebenarnya mahukan perhatian. Mahukan kata-kata semangat. Mereka boleh berjaya. Mereka mungkin lambat dalam akademik tapi aku lihat mereka sangat bijak dalam kemahiran hidup. Daya berfikir mereka juga kreatif! Sayang andai seawal ini guru sudah tidak mahu meletakkan harapan pada mereka. Lebih sayang andai guru terus membunuh keyakinan diri mereka.

Maka apa yang tercemar? Ini pendapat peribadi aku. Bila mana profesion guru ini dipilih sebagai salah satu asbab yang kononnya menjanjikan peluang pekerjaan, maka berduyun-duyun insan yang hadir mengisi kekosongan menjadi seorang guru. Aku tak tahu niat mereka benar-benar mahu mendidik generasi atau sekadar mencari sumber pendapatan atau mungkin mereka boleh berbangga dengan kelulusan yang mereka ada. Aku harapkan niat mereka itu adalah kemungkinan pertama aku. Semoga tindakan mereka adalah hasil dari niat yang murni. Bila aku bandingkan pendekatan guru aku dahulu dengan guru sekarang, memang berbeza. Mungkin semangat mendidik anak bangsa itu yang membezakan. Tercemar dari tenaga pengajar akan menghasilkan produk yang tercemar juga. Mengapa? Produk yang dihasilkan kemungkinan tidak begitu kuat menangkis cabaran realiti hidup.

Cukup untuk aku bayangkan sebuah keluarga yang punya anak 5 atau 6 orang. Setiap anak ada ragam tersendiri. Ibu ayah juga yang tahu menyesuaikan teknik mendidik anak. Guru sering dikatakan sebagai ibu dan ayah bagi pelajar sewaktu di sekolah. Maka fahamilah pelajar. Dekati mereka dengan ilmu yang kalian ada. Psikologi pelajar corot, psikologi pendidikan, ilmu keibubapaan. Berusaha membangunkan generasi. Mereka berbeza dari zaman kita. Maka kita harus kreatif mendidik bersesuaian dengan zaman mereka.

"Didiklah anakmu mengikut zamannya kerana zamannya adalah berbeza sekali dengan zaman ibubapanya" - Saidina Umar Al-Khattab r.a
All the best cikgu Malaysia! Aku bukan tuding jari. Aku cuma melihat dan memberi pendapat peribadi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...