entry kali ini khas buat seorang teman.
sejujurya jauh di dasar hati ini aku sangat merinduimu. kau sentiasa di sisi di saat aku memerlukanmu. aku pula? aku tidak tahu samada aku masih lagi berfungsi dengan baik dalam hidupmu. menjadi tempat untuk kau mengadu susah senang, menjadi teman yang sering menghulurkan bantuan di saat kau memerlukan. adakah aku masih lagi memberi makna dalam dirimu? maafkan aku teman.
jodoh kita memang panjang hingga ke hari ini. walau dekat dari segi geografi, sebenarnya kita jauh terpisah. jauh hingga menyebabkan aku merasa diri ini tidak berguna kerana semakin mengabaikanmu; seorang teman yang begitu berharga dan bermakna dalam hidupku.
sejak zaman persekolahan lagi memang aku lebih rapat dengan dirimu. suka-duka kita lalui bersama. aku rindukan detik-detik itu teman. detik aku menangis dan kau dakap bahuku mengalirkan semangat dalam diri ini. detik kita sama-sama berpelukan untuk merai dan mungkin menangisi keputusan peperiksaan. detik kita berkongsi masalah dan tekanan yang dihadapi. detik kita ketawa riang dan bergurau senda. juga detik kita berpelukan erat kerana tidak mahu berpisah jauh. semuanya sentiasa di ingatanku.
masih aku ingat ketika aku sakit dahulu. demam yang bukan calang-calang tempoh ziarahnya. ditambah dengan tekanan dan bebanan di minda juga hati. engkaulah satu-satunya insan di saat itu yang menyokong diri ini. ketika yang lain tidak bersetuju dengan keputusan yang kuambil, kau beri aku kekuatan untuk aku terus teguh. ketika diri semakin sepi setelah rakan yang enggan memahami seakan menjauhkan diri, kau sentiasa ada di sisi menemani. akhirnya pada suatu malam aku menangis sepuasnya di hadapanmu. meluahkan segala beban yang lama kusimpan sendiri. engkau pula? terus memujuk dan tidak putus meniup semangat ku kembali. terima kasih teman!
begitu lama aku tidak bertemu dengan dirimu. bergurau dan berkongsi ceritera kehidupan di alam kampus. kau dengan teman barumu. aku dengan teman baruku. kau sibuk dengan aktiviti fakulti dan segala macam agenda peribadimu. aku pula sibuk ke sana ke mari menghadiri program itu dan ini. sering aku berfikir dan mengatur jadual waktu peribadi. namun ruang untuk bersama denganmu walau sementara sentiasa ada halangannya. sekali lagi aku kecewa.
apa yang ingin aku katakan padamu mungkin kedengaran seperti sudah basi. namun kata-kata ni adalah sesuatu yang lahir dari hati. aku amat bersyukur dikurniakan seorang teman dan sahabat sebaik dirimu. terima kasih untuk segala kebaikan yang telah kau beri padaku. aku tahu betapa diri ini gagal dalam menjadi sahabatmu yang baik.
begitu banyak kesalahan yang aku lakukan terhadapmu tanpa kusedar. menyakiti hatimu. membuat kau berjauh hati. memandang remeh perkara yang penting bagimu. acuh tak acuh dalam perbualan denganmu. ku mohon maaf untuk setiap hal yang berlaku. sungguh aku tidak mahu langsung menyinggung apatah lagi menyakiti hatimu. jika mampu, aku ingin membuat kau terus gembira dan bahagia. agar senyumanmu terus-terusan terukir di bibir milikmu. namun itu semua hanyalah 'JIKA'.
aku doakan yang terbaik untukmu teman. semoga kita sama-sama berjaya dalam perkara yang diusahakan dan semoga dipermudahkan semua urusan dunia akhirat. sekali lagi maaf ku pohon darimu atas segala kesilapan dan keterlanjuran diriku. satu perkara yang kau harus tahu. aku sangat menyayangi dirimu kerana bagiku engkaulah anugerah terindah yang diberi Allah padaku. salam sayang dariku untukmu.
No comments:
Post a Comment