Kepada insan yang akan menyunting diriku untuk hidupnya,
Ketahuilah bahawa diriku tidak seperti yang kau impikan
Begitu banyak kekurangan dan kelemahan yang wujud dalam diriku
Maka janganlah kau berputus asa dalam memandu dan menasihatiku
Kerana sesungguhnya aku sentiasa memperbaiki diri setapak lebih maju
Bukan hanya untukmu tetapi demi destinasi yang kita tuju
Kepada insan yang akan menyunting diriku untuk hidupnya,
Aku wanita yang penuh dengan emosi yang kadangkala mempengaruhi diriku
Sering emosi negatifku terzahir melalui tingkah laku
Maka aku mohon agar kau memaafkan setiap khilafku
Dan bantulah aku dalam mengurus emosi ini
Supaya dirimu tidak terus aku sakiti dalam sepi
Kepada insan yang akan menyunting diriku untuk hidupnya,
Sedarlah betapa aku sukar meluahkan segala rahsia hati
Namun kerap kali aku berharap agar semuanya mampu untuk kau mengerti
Maka kupinta agar jangan hanya kau mengharapkan pada lisanku
Sebaliknya kau nilailah dari perlakuanku
Di situ pasti kau akan dapat melihat segala perasaanku padamu
Kepada insan yang akan menyunting diriku untuk hidupnya,
Semoga kekurangan yang ada pada diriku
Sempurna dengan kehadiranmu
Dan semoga kehadiranku dalam hidupmu
Menjadi pelengkap kekurangan milikmu
Terimalah diriku seadanya sebagaimana aku menerima dirimu seadanya
Cintailah diriku sekadarnya supaya aku tidak hanyut dengan selain cinta Ilahi
Sambutlah tanganku ketika aku tersungkur di landasan yang berliku ini
Agar di akhirnya nanti kita teguh di sini hingga tiba ke destinasi abadi
No comments:
Post a Comment