Cinta

Ketika di matrikulasi dahulu, kumpulan saya menyediakan satu tugasan mengenai CINTA MENURUT PANDANGAN ISLAM. sukar? memang sukar dalam mencari apa sebenarnya cinta dalam Islam. ketika itu sibuk di matrik dengan KEMPEN ANTI-COUPLE. saat itu memang cinta itu tidak dapat ditafsir dengan minda saya yang sangat tidak matang ini. jujur, menuntut di sekolah perempuan, asrama pula memang menjadikan saya jauh dari lelaki dan sukar menjadikan mereka sebagai sebahagian dari komuniti masyarakat.

ada satu ketika saya terlalu inginkan pasangan untuk berkongsi kisah suka duka, untuk berkongsi bahagia derita. ingin merasai apa sebenarnya yang dirasai oleh teman yang berada di alam percintaan. pada masa yang sama, hati ini menolak sekeras-kerasnya huluran salam oleh insan bernama lelaki yang mengajak menjalinkan hubungan yang lebih serius. saya tidak mahu ada komitmen selain keluarga dan pelajaran.

meniti hari di usia remaja dan alam peralihan menuju usia yang lebih banyak nilai angkanya memang memberi pelbagai pengajaran yang tak ternilai dalam kehidupan. saya tidak memusuhi lelaki walau saya seolah dingin dengan mereka. saya masih boleh berbual mesra berkongsi cerita dengan teman yang ada masalah dalam hubungan cinta mereka dan berkongsi kebahagiaan bersama mereka.

saya tidak suka melayan insan yang sedang mabuk cinta ini tatkala keluar ayat-ayat yang indah dan janji-janji manis dari mereka. saat itu saya terfikir. sebegitu istimewanya si dia pada mereka hingga kadang-kala janji yang ditabur itu sangat tidak logik diterima akal. namun mengapa kita tidak pernah berjanji pada Pemilik dan Pencipta Cinta? Dia yang memberikan kita perasaan yang sebegitu indah. Dia yang menggerakkan hati kita untuk menerima cinta dalam hati.

untuk insan yang sedang dibuai keindahan cinta, semoga kalian diberi petunjuk olehNya dan sentiasa berpegang pada syariat. buat insan yang sedang mencari cinta, sedarlah bahawa cinta pada Pencipta Cinta itu adalah segalanya. andai tiada cinta manusia untukmu, sesungguhnya Dia menjanjikan sesuatu yang lebih buatmu sayang. buat insan yang bercinta dalam alam rumahtangga, semoga kalian sentiasa bercinta hingga ke syurga sana.

*teringat-ingat status jiwang teman-teman di social network.

Islam di Negara Islam

bismillahirrahmanirrahim...
sana-sini orang sibuk berbicara mengenai status Malaysia sebagai sebuah NEGARA ISLAM. Bagaimana sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, sebuah negara yang berpengaruh dalam pertubuhan-pertubuhan Islam dunia dan sebuah negara yang pemimpinnya dimonopoli oleh seorang yang bergelar muslim, memiliki begitu banyak pusat-pusat hiburan yang sudah tentu pelbagai maksiat berlaku di dalamnya.
Buka sahaja laman sesawang, pasti ada insan yang mempersoalkan kedudukan Islam di sebuah Negara Islam. Ini bukan perkara yang baru. Sedih. Sejujurnya sedih itu memang wujud di dalam hati. Masakan tidak. Negara dipimpin oleh insan bergelar MUSLIM. Islam diangkat sebagai agama rasmi. Namun sayang, masyarakat Islam di dalam negara sendiri seperti hilang pedoman.
Konsert di sana-sini menjadi santapan. Kelab-kelab hiburan dan majlis keramaian dijadikan hidangan. Anak-anak muda sibuk berpeleseran. Budaya dan ajaran Islam seolah dilupakan.
Ya, saya masih jahil dalam banyak ilmu agama. Ya, saya juga tidak tergolong dalam mereka yang sentiasa berusaha menyebarkan dakwah Islamiyah. Namun, semua ini bukan alasan untuk saya memandang remeh mengenai agama yang saya imani.
Saat ini Islamic Fashion Festival mendapat kritikan hebat dari ramai golongan muslim yang mempertikaikan kewajarannya. Kewujudan IFF memang bertujuan memperkenalkan busana yang sopan dan melambangkan Islam itu sendiri di mana mementingkan penjagaan aurat, sopan dan kemas. Namun persoalannya di sini apabila busana yang diperagakan oleh model-model ini masih terbuka dan menampakkan aurat yang sepatutnya ditutup rapat. DI MANA SEBENARNYA PAKAIAN MUSLIMAH DALAM IFF? Mengapa tidak ditapis dahulu mengikut ciri-ciri busana muslim yang sepatutnya sebelum dibenarkan membuat peragaan? -sekadar cadangan-
Bukan isu IFF sebenarnya yang ingi dikongsi dalam entry ini. Kadang-kadang ada juga terlintas di minda. Pemimpin sahaja boleh mengubah gaya hidup masyarakat hari ini dengan segera dan menyeluruh. Teringat zaman pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh. Seorang pemimpin yang saya kagumi selepas Rasulullah s.a.w dan para sahabat juga Saidina Umar Abd. Aziz. Bagaimana ketika zaman pemerintahan mereka, bumi ini begitu makmur. Umat Islam mengamalkan cara hidup yang sebenar-benarnya. Saling berkasihan antara satu sama lain. Umat yang begitu ramai ini hidup seperti sebuah keluarga besar yang sangat utuh ikatannya. Maksiat pula sangat minima bilangannya dan sentiasa dikawal daripada berlaku oleh setiap ahli masyarakat. Betapa indahnya hidup di zaman itu.
Semua bermula daripada tindakan awal seorang pemimpin. Bagaimana Saidina Abu Bakar menghapuskan golongan murtad dan nabi palsu. Bagaimana Saidina Umar Abd Aziz membuat penstrukturan semula dalam kerajaan yang diperintah beliau sehingga tiada lagi amalan rasuah dalam kalangan pemimpin dan setiap rakyat hidup aman damai serta cukup makan pakai. Bagaimana Sultan Muhammad Al- Fateh menjadikan seluruh rakyat di bawah pemerintahannya menjadi rakyat yang baik akhlaknya, terjaga ibadahnya. Semua berbalik pada cara dan gaya pemerintahan mereka. Seorang yang bergelar PEMIMPIN.
Saya sangat berharap agar suatu hari ini di bumi Malaysia ini akan lahir seorang insan yang mampu membawa sinar Islam dalam corak pemerintahan negara. Semoga insan ini dibekalkan Allah s.w.t ketabahan mengharungi dugaan yang pasti bukan calang-calang.
-rindu pada keamanan dan keharmonian zaman pemerintahan Rasulullah dan para sahabat-

Perjuangan Ini

terlalu banyak sebenarnya perkara yang ingin dikongsi bersama namun baru kini ada sedikit kelapangan dan perkara yang mahu dikongsi.

sejak naik cuti semester seorang demi seorang teman terbang meninggalkan tanah air demi jihad mereka di negara orang. ada yang pergi menyambung perjuangan di bumi penjajah. ada juga yang kembali menyambung pengajian mereka di bumi anbiya'.

aku? masih di sini menagih ilmu di bumi Malaysia. hati sangat seronok melihat teman seperjuangan dahulu dapat memenuhi hasrat mereka melanjutkan pelajaran di luar negara. namun diri ini belum punya kekuatan dan semangat untuk keluar dari tanah kelahiran. entah mengapa. rasa cemburu kadang-kala datang menjengah di lubuk hati. ayah suatu hari bersuara,

"kamu kerap bercerita kawan fly ke sana-sini sambung belajar. semua yang rapat dengan kamu, yang sama-sama membesar dengan kamu. kamu pula bila?"

aku sedikit tersentak. begitukah impian seorang ayah? mahu anaknya jauh menuntut ilmu? aku belum bersedia. tidak pernah terlintas pun di benak suatu hari nanti aku akan pergi jauh meninggalkan bumi ini menjadi seorang musafir di tanah asing demi sebagai penuntut ilmu.

saat itu, aku cuba menanam cita-cita. aku mahu juga mengikut jejak teman-temanku. ke luar negara demi pengalaman menuntut ilmu tentu lagi indah. dengan cabaran yang lebih hebat. dengan arus perubahan masyarakat setempat yang sangat berbeza. tetapi aku tahu. jauh dari keuarga dan kenalan sebenarnya lebih mengajar diri berdikari. itulah hikmah bagi mereka yang bermusafir dengan niat kerna Allah s.w.t.

aku mahukannya. insyaAllah. suatu hari nanti. hanya doa sentiasa mengiringi setiap langkah perjuangan. juga kumohon pada yang Esa, moga langkahku ini sentiasa di dalam redhaNya. aku takut jika diri mudah hanyut dengan segala arus jahiliyah. aku takut andai iman yang sangat rapuh dan nipis ini mudah terkulai dan hancur. semoga aku mampu terus berdiri dengan jiwa yang besar menongkah arus dunia akhir zaman dengan azam yang sentiasa di dalam genggaman. insyaAllah

Langkah Tercipta

lama rasanya tidak bermanja dengan kata-kata di ruangan maya ini. biasalah kehidupan pelajar di kampus yang sentiasa bergelumang dengan tugasan dan segala macam ujian. HEHE kali ini ada sedikit perkongsian nasyid mungkin. semua kerana lagu ini membantu memulihkan kembali semangat saya di saat perasaan putus asa dan mengalah mula mengintai-intai ruangan kosong untuk bertapak di hati.

saya bukan mahasiswi yang bijak mengatur masa dan strategi dalam menuju kejayaan yang diimpikan. sering hati ini mengalah tatkala gagal merealisasikan impian dan harapan. ya, memang saya menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Menentukan. namun saya juga tahu Dia tidak akan mengubah nasib saya seandainya saya sendiri tidak berusaha untuk mengubahnya. bagi saya itulah yang paling penting-
USAHA dan TERUS BERUSAHA.

perubahan itu memang memerlukan masa. dan perubahan itu juga perlu dilakukan dengan kerelaan tanpa paksaan. NAMUN jika ada dorongan dan sokongan dari insan tersayang terutamanya, proses perubahan itu akan mengambil masa yang singkat insyaAllah. setiap insan itu berbeza keadaan dirinya. itulah keunikan manusia ciptaan Allah. saya bersyukur diperkenalkan dengan beberapa orang insan yang secara tidak langsung memberi saya panduan dan pengajaran dalam meniti hari-hari di bumi Serdang ini.

insan-insan ini juga yang meniupkan semangat dalam diri di saat diri mula lemah dalam menyusun langkah perjuangan. semoga apa yang saya peroleh dari mereka ini Allah memberikan mereka ganjaran yang selayaknya. aminn.

baiklah, ini nasyid dari kumpulan UNIC berjudul LANGKAH TERCIPTA. saya suka dengar. semangat saya seolah mula terbakar dengan liriknya. ^^


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...