KEMM MOTIVASI

Semalam (20 Jun), kem motivasi adik tersayang sudah pun tamat. Lega sangat rasa bila semua selesai. Saya pun penat juga walau bukan merupakan salaah seorang AJK Pelaksana. Saya ada di Kem Bumi Jati sejak hari pertama lagi. Seronok juga walaupun ada masa saya rasa tak tahu nak buat apa. HAHA. Mungkin sebab saya memang suka benda-benda seperti ini. Hari pertama tidak ada apa yang menarik untuk saya kongsi dengan kalian. Aktiviti seperti biasa, bermula dengan sesi taklimat, berakhir dengan pembentangan kumpulan. Awal juga program hari pertama tamat. Tujuan? Supaya adik-adik ini boleh bangun untuk qiamullail esok hari. Hari kedua penuh dengan aktiviti dalam dewan. Nama kem ini pun Kem Motivasi PSRA 2010, jadi pengisian program semestinya diselitkan dengan teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan. Waktu inilah saya tak tentu arah nak buat apa. Nak tidur tak seronok. Nak online pula, line tak sehebat di tengah kota. HAHA. Akhirnya, main game yang ada dalam external hard disk sahaja.

Sebelah malam, sesi muhasabah diri para pelajar. Tersentuh juga hati saya yang dah lama tak dapat pengisian sebegini. Menangis? Semua peserta menangis teresak-esak. Bising dewan yang tak besar mana tu dengan esak tangis adik-adik. Ada antara mereka yang menangis kerana takut. Ada yang menangis kerana penyesalan dan keinsafan. Ada juga menangis kerana kawan-kawan lain semua menangis. HAHA Dalam hati saya berharap sangat adik-adik ini kekal dalam perjuangan mereka. Kekal dengan identiti seorang yang bergelar muslim. Juga kuat menghadapi cabaran dunia luar. Saya tahu mungkin sukar sebab saya juga dah melalui zaman itu. Memang meniti zaman remaja banyak sangat godaan terutama dari rakan-rakan.(sedar pon awak tu)

Dari sudut pandangan saya, pengisian kebanyakan slot muhasabah diri sangat klise penyampaiannya. Pengisiannya tak ada yang salah tetapi cara penyampaiannya seolah-olah lebih bermatlamatkan membuat golongan sasaran menangis. Saya tahu memang menangis itu tanda penyesalan, tanda kesedihan dan sebagainya. Namun persoalannya kenapa mesti sepanjang slot, golongan sasaran hanya diberi focus mengenai ibubapa sahaja. Bagaimana dengan lingkungan kehidupan mereka sendiri sebagai contoh pergaulan seharian, komunikasi, akhlak sesama insan dan yang terpenting hablumminALLAH. Sedangkan sebenarnya seawal usia beginilah perlu dilentur semua perkara ini. Mungkin perlu menambah baik cara pengendalian sesi muhasabah. Saya bukan ingin melihat segala kelemahan tetapi sekadar mahu mencari ruang-ruang yang boleh ditambah baik. Saya memang tidak mahir kalau mengendalikan program seperti ini tetapi saya menilai daripada hasil testimoni orang ramai. Apa pun, tahniah kepada semua yang terlibat ! ^^

Esoknya, slot khas untuk ibubapa bersama seorang penceramah jemputan. Tajuk ‘KE MANA TUMPAHNYA KUAH KALAU TIDAK KE NASI’ menjadi pilihan untuk dikupas bersama. Jujurnya saya kurang berminat dengan cara penyampaian beliau. Golongan mereka yang mendengar ceramah ini adalah dari ibubapa dan para pelajar. Saya meletakkan diri sebagai pelajar yang masih lagi mempunyai ibu dan ayah. Sedikit hampa bila sewenang-wenangnya beliau katakan ibubapa yang tidak hadir pada hari itu merupakan ibubapa yang tidak prihatin pada anak-anak. Bayangkan jika anda seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan diberi kenyataan sedemikian oleh insan yang tinggi ilmunya. Saya sangat yakin akan beri kesan kepada psikologi. Padahal mungkin ibubapa mereka ada masalah pengangkutan, masalah kelurga dan sebagainya. Tidak adil kalau terus mahu menghukum sedemikian. mungkin benar dakwaan beliau tetapi bila ada golongan pendengar yang umur mereka belum cukup matang untuk menilai, kenyataan itu perlu untuk lebih dimurnikan lagi. Perkara ini mengingatkan saya supaya menjaga lisan agar setidak-tidaknya perkara negatif yang saya sampaikan itu tidak memberi kesan yang dalam sebaliknya yang positif itulah menjadi mutiara berharga. AMIN

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...