Aku Sayang Kamu

22 Julai 2010 genap usia adik bongsuku yang ke-12. Sungguh gembira suaranya ketika aku hubungi untuk mengucapkan selamat. Baru aku sedar adikku sudah semakin besar. Sudah mampu berfikir dengan akal yang lebih logik. Teringat segala tindak-tanduknya yang banyakmenceriakan hari-hari aku terutamanya di rumah. Bagi aku walaupun dia seorang yang punya kekurangan, semua itu tidak mematahkan semangatnya. Sungguh memang wujud perasaan kagum aku pada dirinya.

Begitu teruja suaranya menelefon meminta aku pulang ke rumah untuk makan bersama-sama sempena ulangtahunnya. Dalam hati ini, ada rasa ralat kerana tidak dapat memenuhi permintaannya. Doaku panjatkan pada Ilahi agar insan yang aku sayangi ini semakin kuat dan matang menempuh dunia akhir zaman. Semoga kekurangan yang dimiliki menjadi satu kelebihan yang ampuh untuknya berjaya dunia akhirat.

Aku teringat bagaimana kehadirannya dalam keluarga kami mewarnakan seluruh kehidupan yang sebelumnya sedikit suram setelah perginya arwah adik, (Muhd Nor Hakim). Segala tindak-tanduknya mengundang tawa di wajah kami lebih-lebih lagi mak dan ayah.

Adik, kamu insan istimewa yang diciptakan Ilahi. Semoga berjaya dunia akhirat dan terus menjadi permata yang tidak pernah pudar kerlipannya hingga kelihatan dari kejauhan. Doa dan harapan untukMu tidak pernah terhenti malahan terus dipanjatkan pada Yang Esa. Dia yang Maha Mengetahui setiap perkara yang baik untuk hambaNya. Semoga dirimu baik-baik sahaja! Ketahuilah ramai insan yang sayang padamu. Juga, AKU SAYANG KAMU !

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...