1st Pregnancy : Pengalaman Bersalin (Part 2)

Assalamualaikum warahmatullah!

Ada yang dah baca pengalaman bersalin part 1 aku tak? Part 1 lebih kepada moment sebelum ada dekat hospital. hehe memandangkan aku tak masuk hospital awal, part 2 ni baru aku cerita semua benda yang jadi dalam tempoh masa semasa Subuh hingga sebelum Zuhur. Lama tak? Tak lama sangat. hehehe

Ok kita sambung dengan apa yang berlaku pada hari annivessary aku yang pertama.


*** 13 Disember 2015 ***

Elok azan Subuh tu, kitorang keluar rumah nak ke Hospital Selayang. Alhamdulillah waktu Subuh macam ni dan bukan hari bekerja. Sampai hospital dalam masa 20 minit lebih kurang dengan kelajuan sederhana. Kalau hari bekerja mesti lambat sikit sampai sebab sesak orang nak pergi kerja. Sampai hospital dalam pukul 6.25 pagi, terus masuk bilik rutin macam hari tu untuk pemeriksaan awal. Sebelum masuk bilik tu, nurse dekat kaunter dah bagitau siap-siap kalau kena admit wad hari ni, kena tunggu petang sebab wad semua penuh. Tinggal wad first class je. T_T 

Masuk je aku tengok ramai ibu-ibu tengah tunggu turn. Rupanya katil penuh. So, aku pun decide pergi Subuh dulu. Nasib surau depan kaunter je tak jauh. Kalau tak, jenuh aku nak berjalan sambil tahan sakit. Masuk bilik rutin, nurse buat macam hari tu jugak. Pantau jantung baby dan tekanan darah aku. Everything normal alhamdulillah. Diorang pantau jugak kekerapan dan kekuatan contraction. Alhamdulillah walaupun ada staff lelaki dekat situ, yang handle kes aku adalah perempuan. Kali ni tak lama sangat aku kena tunggu sampai ada doktor datang. Cun doktor ni. Perempuan Melayu muda (complete semua yang cek aku dari pelbagai bangsa! ^_^ ). Dia cek bukaan, dah 3cm. Aku macam "baru 3cm? tapi sakit boleh tahan". Selang 5 minit lepas tu, lebih kurang pukul 7.45 pagi, MO pulak datang cek. MO cek bukaan dah naik 5cm tapi dia suruh tulis dalam report 6cm sebab bukaan agak cepat dan tunggu untuk masuk ke labor room. Aku dengar labor room je, berdebar terus. Perasaan bercampur-baur antara tak sabar dan nervous. Waktu dia cek bukaan tu jugak air ketuban aku pecah. Patut tiba-tiba rasa panas je katil tu. haha

Aku tunggu lagi dekat dalam tu sorang-sorang dengan cotraction yang makin kuat. Ada nurse datang tanya nak breakfast tak. Bila dia kata breakfast kuey teow goreng, aku reject. Mana larat nak duduk elok makan kuey teow tu dah weh. Aku mintak dia tolong ambilkan kurma dengan air zamzam dekat suami. Dia tak bagi air zamzam weh. Dia kata selusuh. Aku cakap bukan selusuh, air zamzam je. Tak nak bagi jugak. Dia kata air macam tu kita tak bagi minum. Apa maksud kau dengan 'air macam tu?' huhuhu dalam 10 minit jugak baru aku dapat makan kurma dan air zamzam. Rupanya suami hulurkan je air zamzam walaupun dia tak mintak (suami lah cerita). Tak pulak dia reject air zamzam tu masa suami bagi. hehe TQ nurse!

Aku makan kurma sambil baring dan tahan sakit contraction. Sakit yang tak boleh nak bayang. Aku ulang-ulang selawat dan baca doa Nabi Yunus a.s. Aku dapat rasa betapa serabai dan serabutnya aku. Tak tahu berapa lama aku duduk dalam bilik tu sampailah aku rasa contraction yang lebih kuat. Banyak kali aku panggil nurse. Tapi tak boleh proceed masuk labor room lagi sebab labor room full. Bukaan aku dah 8cm waktu ni. Tak ada jam pun. Tak dapat tengok dah pukul berapa waktu tu. huhuhu ada nurse ni datang bebel sikit dekat aku sebab dok panggil nurse je. Dia kata baru 8cm, lambat lagi. selawat, zikir banyak-banyak. Aku tak boleh nak menjawab je sebab sakit. Kalau boleh, aku nak je cakap "Kalau Allah kata dari 8cm nak ke 10cm tu ambik masa sesaat, tak ada apa boleh halang". huhuhu 

Akhirnya, ada sorang nurse ni (ni fav nurse aku dekat bilik rutin ni) yang sabar layan aku datang cek dan suruh update dengan labor room kalau ada kosong sebab dia kata 'patient dah restless'. hehehe maunya aku tak restless? Dah 9cm! Aku memang dah tak hirau dengan waktu lagi. Tau-tau aku dah kena usung ke labor room. Dengar nurse buat announcement dekat ruang menunggu "Suami kepada Siti Nor Halilah" untuk panggil suami ikut masuk labor room. Dalam labor room, aku dah memang tak ada tenaga. Tengok pulak ada dokor lelaki Cina. Aku tak larat sangat nak cakap untuk request doktor perempuan. huhu tak lama tu suami datang, bisik dekat salah sorang nurse untuk tak nak ada lelaki masuk labor room. Ok. Doktor lelaki tu keluar dan tinggal para nurse yang uruskan aku.

Memandangkan ini anak pertama, nurse ajar cara meneran. Aku kalau secara teori memang dah tau melalui pembacaan. Bila nurse ni ajar, aku refresh balik apa yang aku pernah baca termasuklah tips untuk mengelakkan luka yang teruk. Tapi bila masuk bab praktikal, maaflah. Saya tak dapat gred A pon. huhu nurse suruh cuba teran baby keluar. dua tiga kali aku buat, tak lepas. Kepala baby still jauh lagi katanya. So, dia bagi masa untuk aku rileks kejap untuk simpan energy. Tapi tak payah percaya kau akan rileks weh. Contraction dia memang lagi dahsyat buat kau rasa nak meneran sungguh-sungguh. Suami dekat sebelah dok tenangkan aku, baca doa apa aku tak tau lepas tu hembus dekat aku. Lepas tu dia baca Yasin pulak. Dia memang mainkan peranan dengan baik. Beberapa hari sebelum tu, aku ada pesan dekat dia suruh ingatkan aku cara kawal pernafasan waktu contraction datang, ingatkan aku selawat dan zikir. Siap ajar dia lagi macam mana nak cakap dekat aku time aku tengah tak tentu arah tahan sakit. hahaha waktu dekat labor room tu, memang dia buat betul-betul. Guide aku selawat dan zikir, guide aku bernafas dengan betul. Rasa lega sikit. Walau sakit lagi kuat dari masa aku dekat bilik rutin tadi, tapi aku lebih bertenang. Ini rupanya kesan bila suami ada dekat sebelah kita waktu nak bersalin :D sebagai peneman dan reminder. hehe

Nurse keluar masuk tempat aku tengok keadaan aku. Still, baby jauh lagi kata dia. Aku tak taulah jauh macam mana sebab yang pasti aku rasa nak meneran je tak sudah. Nurse pesan jangan teran, takut nanti kepala baby bengkak. Tapi percayalah. Bila rasa nak meneran tu datang, kau tahan macam mana pun tak mampu jugak. Sampai aku macam marah suami jugak bila dia kata jangan teran. Sebenarnya tak marah. Aku nak bagitau dia, aku tak boleh tahan rasa tu. Tapi disebabkan sambil tahan sakit, nada tu jadi nada marah. hahaha

Lastly, ada seorang nurse masuk. Aku tak tau aura apa dia bawak tapi aku rasa bersemangat dan lebih tenang berbanding sebelum tu. Dia ingatkan balik cara meneran dan tolong waktu aku meneran. Labor room tu jadi kecoh sikit bila tambah lagi 3-4 orang nurse masuk. Tapi aku jadi suka dan lagi semangat. Aku tak tau kali keberapa aku teran sampai aku penat dan rehat jap pastu tanya "lambat lagi ke baby nak keluar?" hahaha nurse pun gelakkan lepas tu kata semua tu bergantung pada aku. Diorang tolong je. Kalau aku teran betul, insyaAllah baby keluar cepat. Aku pon baru sedar soalan ape benda aku tanya diorang ni. hahaha tapi ok lah aku dah boleh tanya soalan kan daripada dok mengerang sakit je. Nampaklah mood aku dah lebih rileks.

Syukur sangat dapat nurse yang ok waktu tu. Jenis gurau-gurau, mengusik sampai aku lupa kejap sakit aku tu. Semangat dan tenaga aku tiba-tiba kuat. Aku teran sungguh-sungguh dan tiba-tiba "haa! dah nampak kepala baby dah. Ayah meh tengok sini meh" Suami terus excited bagitau aku dah nampak rambut baby. Aku excited campur sakit. Aku teran lagi tapi tak berjaya keluar. Ada doktor masuk bagitau kalau dalam masa 10 minit baby tak keluar, dia akan vacuum atau forceps. Semua diam dalam bilik tu. Nurse cakap dekat aku elok-elok kalau buat dua cara tu, luka akan lebih teruk dan baby pun akan ada effect jugak. Dia pesan suruh cuba sungguh-sungguh dan teran betul-betul. Aku dapat rasa yang dia betul-betul ikhlas dan bersungguh tolong aku. (Eh touching tetiba) 

Semua nurse dalam tu kecoh bagi semangat. Suami pun bagi semangat. Ayat suami "dik, dah nampak kepala. cepat! hadiah annivessary tu" nurse yang dengar salah faham. Dia ingat suami aku ni abang aku sebab panggil aku adik. hahaha yelah, yang boleh masuk labor room kan hanya suami dan ibu kandung. Suami cakaplah memang panggil aku adik. Terus satu labor room kecoh "dik, cepat teran dik", "ok good, teran lagi dik. baby dah nak keluar dah", "sikit lagi dik, bagi lepas dahi baby keluar" aku pun ikut gelak tak pasal. Mungkin disebabkan rasa tenang yang Allah hadirkan dengan asbab suasana dalam labor room tu, aku selamat jugak lahirkan Umar dengan normal. Rasa lega sangat bila baby dah keluar dan dengar dia menangis. Aku dah jadi mak dah hoi! haha Alhamdulillah syukur Allah mudahkan jalan.

Lepas potong tali pusat, nurse letak umar atas aku dan suami terus azankan dekat telinga kanan dia. Bertuahnya Umar ni, boleh dia sempat kencingkan nurse masa nurse angkat dia letak atas aku. Dengan aku sekali kena kencing dia. hahahaha Lepas selesai, nurse nak bersihkan Umar. Waktu angkat dia dari atas aku, rupanya dia berak. Adalah lekat taik dia dekat aku ni ha. Hai lah anak. Nanti mengempang aku je lah ni. Dah berak kencingkan aku siap. hahaha

Duduk dekat labor room sampai pukul 5 jugak sebab wad penuh. Pukul 5 baru dapat katil. Alhamdulillah semuanya normal dan ok. Baby dan aku pun ok.

**********

REFLECTIONS

Bila dah bersalin dan lalui semua kesakitan tu, baru dapat feel macam mana mak kita rasa dulu. Demi Allah! Sakit tu memang tak tertahan. Sebab tu kalau suami teman, badan suami pun kena lebam kesan cubit dan picit dari isteri yang menahan sakit (suami tahan sakit tapi lama-lama terkeluar jugak 'adoi' bila kena attack dengan aku). 

Lagi satu, kau dapat rasa betapa kasih sayang Allah tu luas. Dia boleh je cabut nyawa aku waktu aku bersalinkan Umar. Dia jugak boleh takdirkan apa-apa komplikasi berlaku sewaktu proses kelahiran. Dia pun boleh buat anything happen pada aku atau Umar kalau Dia mahu. Tapi sebab rahmat dan kasih sayang Dia, semuanya selamat. Kalau aku yang banyak dosa ni Allah masih bagi ruang untuk terus bertaubat pada Dia, memang manusia yang tak tahu bersyukurlah aku ni kalau masih tak sedar diri.


Sekian pengalaman dari aku. Bagi aku, bersalinkan Umar mudah alhamdulillah. Tak makan masa lama. Suami kata aku kena tolak masuk labor room dalam pukul 11 lebih (pagi) dan Umar keluar pukul 12.34 tengah hari. Lebih kurang sejam lebih jugak. hee



1st Pregnancy : Pengalaman Bersalin (Part 1)

Assalamualaikum warahmatullah!

InsyaAllah kali ni aku cerita pasal bersalinkan Umar bin Mohd Fathull Najmi. Eh! Lupa pulak. Aku buat entry ni selepas sebulan kelahiran Umar. Tak gigih nak hadap laptop awal-awal. Umar lebih memerlukan aku. Eceh! hahaha Oh ye. Entry kali ni memang agak panjang. Aku tak pasti berapa patah perkataan aku pakai tapi tak sampai 10 muka surat. :D

Ditakdirkan mengandung kali pertama ni aku tak ada sebarang tanda awal nak bersalin macam yang dikatakan seperti kerap buang air besar, kaki bengkak, air ketuban keluar sikit-sikit (leaking). Aku sebenarnya agak menantikan tanda-tanda nak bersalin bila kandungan dah cukup bulan. Tapi sampai nak dekat sangat dengan due pun, masih tak ada tanda lagi. Aku ni bila dah tunggu-tunggu tapi tak ada jugak, aku jadi malas tunggu. Terus hidup macam biasa. Dah tak ada ternanti-nanti. Minggu ke-39 aku masih rajin drive kereta pergi tempat kerja suami. Saja nak mengada-ngada kacau dia dekat sana. Aku still galak ajak suami keluar jalan-jalan sana sini. Biasanya jalan-jalan cari makan aje lah. Hehehe


*** 11 Disember 2015 ***

Hari Jumaat. Selangor cuti sempena birthday sultan. So, aku plan nak bermalasan je pagi tu. Dari pagi lagi (tak sure pukul berapa tapi belum Subuh) aku dah rasa contraction. Aku layan jap sebab aku fikir aku nak membuang. Tau-tau hilang macam tu je. Ok tak pe. Aku sambung tidur balik. Contraction tu datang berulang-ulang jugak tapi rasa dia sama je. Tak makin kuat, tak makin kerap. Aku pon memang syak aku sakit perut sebab salah makan ke apa.

Bangun pagi, aku bagitau suami aku dah start rasa contraction. Part ni pelik. Dalam aku agak aku sakit perut sebab salah makan, aku menafikan jugak benda tu. Sebab tu cakap dekat suami aku dah mula rasa contraction. Apa lagi. Suami aku macam cuak sikit tanya nak pergi hospital semua ke tidak. Biasalah, anak pertama. Duduk berdua laki bini tak ada orang yang lagi berpengalaman kan. hehehe Aku cakap tak payahlah sebab tak kuat pon contraction ni. Aku dah study sebelum-sebelum tu lagi jenis contraction yang nak bersalin ni macam mana dan bila perlu pergi hospital. Untuk kes aku, tak ada sebarang tanda perlu ke hospital pon. So, plan aku nak bermalasan hari tu memang betul-betul menjadilah. Aku rilek layan contraction yang tak sakit tu sambil google lagi apa yang patut. Eh! aku siap study cara pernafasan macam mana nak meneran tau. hahaha dah ada tanda baru nak praktis. Memang kelaut lah!

Suami dok tanya nak ke hospital tak sebab kadang-kadang contraction tu terasa agak kuat sampai aku stop buat apa-apa. Aku still refuse sebab aku yakin sangatlah kalau pergi hospital pon doktor tak boleh buat apape. Aku cuma tunggu bila dah turun tanda baru nak pergi hospital. Tapi dia insist jugak ajak pergi hospital. Ok aku cakap dekat dia lepas lunch, Zuhur, kita pergi. Haaa nampak tak ciri isteri solehah. Ikut cakap suami tau walau instinct mak-mak aku ni dah berkelip-kelip kata tak ada apape. hihi

Lepas lunch (suami beli je) aku masuk toilet nak wuduk. Ok waktu ni dah ada tanda sikit. Aku bersihkan apa yang patut, wuduk, dan keluar toilet sambil sengih lebar lalu berkata "Bang, jom pergi sepital. Baby dah on the way" Hahaha tak adalah. Aku bagitau suami yang dah ada tanda coklat pastu terus ajak dia pergi hospital je. Instead of rasa risau, aku rasa happy pulak sebab baby is coming! Suami aku terus kalut pack apa yang patut, grab beg hospital and to the hospital we go!

Sampai hospital pun dah agak nak dekat asar. Pukul 3 lebih dekat pukul 4 agaknya. Terus ke dewan bersalin. Lepas register dekat kaunter, aku kena masuk bilik rutin untk cek apa yang patut. So, tunggulah dia pasang CTG untuk pantau jantung baby, cek tekanan darah aku. Lama sangat kat situ! Lebih dari sejam jugak. Aku sampai berpeluh duduk dalam tu. Nak tertidur pun ada. Waktu tu aku dengar orang dok mengerang tahan sakit. Makin lama makin kuat dia mengerang. Sure dia kena hold dekat situ dulu sebelum kena usung bawak masuk labor room. Seram je rasa sebab terbayang nanti masa aku macam mana pulak. Aku doa-doalah untuk dia sambil baca zikir-zikir yang aku ingat untuk mudahkan kelahiran ni.

At last, datang sorang doktor perempuan India muda cek aku. Dia tanya soalan macam-macam dulu pasal kandungan, pasal aku, pasal semua yang berkaitan dengan pregnancy ni. Dah selesai dia dapat maklumat yang dia perlu, dia kata nak cek laluan. Laluan baru 1cm katanya. (TIPS: Rileks kan diri dan jangan keraskan badan kalau tak nak sakit) Tapi aku kena tunggu kejap sebab nak bagi MO cek pulak. Tunggu lagi kejap, MO datang. Comel je dia ni. Perempuan muda jugak tapi Cina bukan India. hee Bila MO cek, dah 2cm. So aku boleh balik rumah sebab bukaan masih sikit dan rumah pon tak jauh. Lega weh sebab aku plan nak balik Klang esok.

Aku keluar dari bilik rutin tu, tengok suami aku tengah hadap fon. Baca Yasin rupanya. hee aku bagitau dia semua yang jadi dekat dalam tu pastu dia macam happy je bila tau dah ada bukaan. Well, baby is coming kan. hehe aku ajak dia balik dan ajak singgah makan dulu. Lepas makan, balik rumah dan buat macam biasa. Contraction aku berterusan macam biasa sampailah esoknya. Tak makin konsisten dan tak makin sakit. Cuma waktu nak maghrib tu, ada keluar lendir campur darah. Itulah tanda nak bersalin aku (tanda darah orang panggil). Cuak jugak sebab tadi tak ada. Suami call hospital tanya. Orang tu cakap tak ada apape sebab tanda tu mungkin keluar kesan dari cek laluan tadi. Ok teruskan bermalasan sampai esok. hehehe

Mak ada call tanya condition sebab Najmi dah bagitau semua family kitorang ke hospital. Aku cerita dekat mak yang aku tak keluar air ketuban tapi keluar darah. Siap mengadu dekat mak aku rasa sakit.huhu mak cakap, kalau tanda darah (keluar darah) memang sakit sikit dari tanda air (pecah ketuban). Tapi aku rasa macam sakit banyak je.huuuuu


*** 12 Disember 2015 ***

Hari ni aku dah ready mental untuk bersalin. Bila contraction yang aku rasa semalam still terasa kadang-kadang, aku relaks dan tenangkan diri ingat balik petua-petua, tips-tips yang aku pernah baca dan dengar sebelum ni. Tak nak rasa nervous punya pasal. Plan asal nak balik Klang hari ni. Nak layan Piala Malaysia pastu esok sebelum balik Gombak, nak ke Serdang dulu hantar jubah orang tempah.

Aku duduk dekat rumah macam biasa dan suami ada jugak keluar uruskan beberapa urusan kerja dia. Memang aku tak masak langsung. Breakfast, lunch semua suami beli dekat luar. Sebelah pagi aku tak rasa contraction yang ketara sangat. Tapi makin lama, contraction tu makin kuat terasa. Aku ada try nak tidur tapi banyak terganggu sebab contraction datang makin kerap dan kuat. Paling lama aku boleh tidur pun dalam 10-15 minit. Syukur jugaklah kan dapat rehat sikit tambah tenaga. 

Suami decide tak payah balik Klang sebab risau terbersalin dekat sana. Yela, aku memang sungguh-sungguh tak nak bersalin sana. Nak bersalin dekat Hospital Selayang jugak. Aku pun setuju je memandangkan condition aku memang menunjukkan tanda 'tak lama lagi dah ni'. Makanya, malam tu suami isteri layan Piala Malaysia berdua sambil dinner. Eh! Best tau layan bola waktu tu sebab Selangor lawan Kedah. Aku Selangor, suami Kedah. Lepas habis bola, aku dok mengusik suami je sebab Kedah kalah sampailah waktu nak tidur aku usik dia. Gurau-guraulah sikit. Tapi, start dari situlah contraction aku makin kuat dan kerap.huhu Ini namanya balasan gelakkan suami. Tak solehah betul. :( 

Aku berjalan dekat ruang tamu adalah dalam sejam jugak. Tawaf pusing-pusing sampai suami aku pun ngantuk. Aku suruh dia tidur dulu, aku tidur nanti bila contraction dah lega sikit. Tapi, kau ingat contraction ni makin berkurang sakit dia? Mimpi je lah oi. Makin kuat lagi adalah. hahaha bila aku dah penat tawaf, aku duduk kejap. Last-last aku try tidur jugak sebab ngantuk sungguh. Waktu tu dalam pukul 2 pagi. Aku cuba sungguh-sungguh nak tidur dengan niat nanti bila dah sampai masa nak bersalin, aku ada tenaga. Yela, aku kan tak tidur seharian. Contraction masih berterusan selama aku tidur. Makin kuat dan makin kerap. Aku memang rekod setiap contraction yang datang. Tidur pun tangan pegang fon ok. Biar senang nak pantau kekerapan contraction dan terus ke hospital la konon. Dalam masa sejam lebih macam-macam position aku dah buat bagi hilang rasa contraction. Kes nak tidur punya pasal. Mengiring, sujud, bersila tapi macam sujud pon aku buat. Semua tak jalan. Aku langsung tak boleh tidur even for 5 minutes!

Seriously, aku cuba tak nak mengerang sakit sebab tak nak kacau suami tidur. Aku ni memang jenis tak suka kacau orang tidur. huhu tapi bila contraction datang makin kuat dan aku dah tak boleh jaga pernafasan untuk control rasa sakit tu, kuat jugak mengerang sampai tarik-tarik suami. Last-last dalam pukul 4 lebih dia bangun jugak dan agak kalut tenangkan aku yang tengah tahan sakit. Bukak lampu, on tv. Dia pun duduk tengok tv sambil mata tahan mengantuk. Drama apaentah dekat tv1 dia tengok tu. Ala sebenarnya dia nak layan mata je get ready bila aku nak ajak pergi hospital. Aku duduk atas kerusi, makan kurma ulang-ulang sampai tak ingat dah berapa biji aku makan. Aku fikir pagi-pagi macam tu mana sempat nak singgah sarapan ke apa. Kedai pun tutup. Makan kurma sebagai alternatif sumber tenaga. Aku niatkan moga Allah bagi kekuatan dan tenaga melalui kurma yang aku makan tu macam mana Allah bagi kekuatan dekat Maryam masa bersalinkan Nabi Isa a.s.

Dalam pukul 5 lebih kurang, suami decide untuk ke hospital. Aku tak request nak pergi pun. Tapi kali ni bila dia ajak, aku terus setuju. Aku tukar baju dan mintak suami bancuhkan milo panas campur planta sikit (aku baca petua ni untuk cepatkan bukaan dan bersalin). Sementara suami kemas-kemas barang dia, aku minum habis milo tu. Sedap jugak rasa dia tapi milo tu letak banyak sikit bagi kaw. Takut tak lalu nak telan pulak bila terasa planta kan. haha

Kitorang keluar rumah betul-betul waktu azan Subuh.

Bersambung ke Part 2



1st Pregnancy : Berat Naik Banyak Waktu Pregnant. Ok ke?

Assalamualaikum warahmatullah!

Memandangkan aku ada pengalaman yang 'menyeronokkan' pasal berat badan naik waktu mengandung ni, aku nak share sikitlah. Mana tau untuk yang nak control berat waktu hamil. PERINGATAN! Diet adalah dilarang sama sekali! HARAMMM. Cuma kawal sahaja ye ibu-ibu semua. Hehehe

Ok. Total berat aku naik dari mula bukak buku waktu 12 minggu sampai minggu ke-39 adalah 15.5kg. Memang rasa berat betul badan. Tapi alhamdulillah aku bebas dari segala bengkak-bengkak. Biasakan orang mengandung akan bengkak kaki, nampak bengkak dekat muka. Aku ok alhamdulillah. Masih lincah ke sana sini macam belum sarat lagi. Rezeki aku mengandung kali pertama ni macam ni kan. 

Aku mula hilang alahan betul-betul masa minggu pertama puasa. So masa puasa tu aku dapat makan makanan yang biasanya dapat masa bulan puasa dengan bahagia, tak ada nak muntah lagi. hehe Alhamdulillah syukur sangat! Sebab aku risau jugak kalau aku still muntah-muntah time puasa ni dalam keadaan baby tengah membesar rapidly inside. huhu Makanya, waktu raya tu aku betul-betul makan sepuasnya. Yelah. Bila lagi nak makan rendang bagai kan. Yang peliknya, aku makan pulut kemain banyak padahal aku tak suka. Hahaha since aku beraya belah suami (Kedah), tak jumpalah ketupat nasi. Memang keje aku makan ketupat palas, lemang, laksa je. Aku pon terkejut tengok selera aku yang maha dahsyat tu. Hahaha

Kesannya, check up aku masa raya tu naik mendadak sampai 3kg. Biasanya aku naik dalam sekilo lebih macam tu. Tapi nurse tak bawak aku refer doktor. Dia kata berat naik kemungkinan sebab aku baru baik dari alahan dan baru lepas raya. So kena tengok next appoinment berat naik macam mana. Hehehe aku macam biasalah. Senyum tunjuk gigi jagung dengan lesung batu kat pipi ni je bila dia tegur pasal berat. Haha

Next check up selepas sebulan, berat aku still naik 3kg. Nak tak nak memang kena refer doktor. Hasilnya, doktor suruh minum gula. AGAIN! huwaaaa! Aku macam xnak je sebab takut muntah lagi. haha tapi proceed je lah memandangkan aku dah stabil kan. Alhamdulillah result aku ok je. Still, berat badan aku masih dalam pemantauan. Bulan depannya, aku datang check up lagi dan masih naik 3kg! Aku frust jugaklah sebab aku dah control makan. Doktor pun suruh buat pemantauan tekanan darah. Seminggu dua kali aku kena rekod tekanan darah. Tapi semua ok. Tak ada apa masalah. Aku pon teruskan control makan. Alhamdulillah ada lah naik jugak tapi dalam range yang sepatutnya. Tak adalah melampau melebihi had. Aku positif je fikir baby aku bahagia sebab aku bahagia makan sedap-sedap. Haha Alhamdulillah jugak nurse dengan doktor dekat klinik tu semua baik-baik tak ada nak marah, cakap pon elok-elok, senyum dan banyak sembang benda yang berkait dengan mengandung ni lah. Share experience siap.

Apa yang aku buat untuk control berat?

  • Makan nasi sehari sekali sahaja. Pilih waktu lunch atau dinner. Biasanya aku lunch nasi. Dinner aku makan mi ke apapelah menu berat tapi bukan nasi.
  • Aku kurangkan pengambilan gula termasuklah minuman dan makanan. 
  • Minum banyak sangat plain water. Suami siap beli 1 kotak air mineral 1.5 liter tu. Yelah aku pon jenuhlah keje dok masak air je slalu. Haha Oh ye. biasanya sebotol besar tu sehari.
Sekian.

1st Pregnancy : Minum Air Gula

Assalamualaikum dunia! :D

Kali ni nak cerita pasal minum air gula. Ok. Untuk pengetahuan semua, sekarang (2015 waktu aku taip entry ni)) semua ibu mengandung diwajibkan untuk minum air gula ni seawal buku pink dibuat. Aku dulu bukak buku pink waktu 12 minggu. Minggu depannya terus kena minum air gula. Doktor tu kata sebab umur aku dah 25 tahun. So, kena minum air gula sebab umur 25 tahun ke atas ada risiko kena diabetes. Hmm aku baru 24 tahun 6 bulan kot time tuuu.

Oh ye! Prosedur minum air gula ni dipanggil MGTT (nama panjang tak tau.hehe) Tujuannya adalah untuk tengok badan kita ni boleh menghasilkan insulin dengan kadar yang sepatutnya atau tak. Kalau penghasilan insulin tu tak ok, akan ada kehadiran gula dalam darah. Itu pasal lah kena diabetes. Eh. Ini penerangan mudah paham je. Bukan penerangan secara ilmiah tau =_= 

Bahaya ke kalau ada diabetes waktu pregnant?

Eh, tak bahayalah! Kalau tahu kawal pemakanan dan ikut nasihat doktor. Tapi kalau tak buat, akan ada masalah lain pulak nanti. Bayi yang bakal dilahirkan dikhuatiri besar. Bila besar, susah nak keluarkan dia secara normal sebab kemungkinan bayi akan tersangkut dekat tulang pelvic/rahim kita. So, akan ambik masa yang lama untuk bawak baby keluar. Kalau ambik masa lama, risau baby akan lemas dekat dalam since air ketuban dah pecah dan baby lebih terdedah dengan infections. Kesian baby. huhu Lecehnya bila kita ada diabetes waktu pregnant ni, kena selalu rekod kandungan gula dalam darah. Ulang-alik klinik EVERYDAY untuk cek. Yes. Setiap hari. DAN beberapa kali dalam sehari. Lepas makan, lepas lunch, lepas dinner. Kesian tengok ibu yang perut dah besar tu ulang-alik klinik. Kuat semangat betul diorang!

Macam mana nak tahu result ok ke tak?

Meh aku cerita prosedur. Bila esok tu kau kena minum air gula, adalah diwajibkan untuk kau puasa mula dari pukul 10 malam sampailah 2 jam selepas kau minum air gula tu. Minum air masak je boleh. Makan-makan tu cannot ye. Esoknya, dalam pukul 8 kau dah boleh terpacak dekat klinik untuk dapatkan turn ambik darah bagi kali pertama (sebelum minum). Lepas ambik darah, bolehlah kau minum air gula yang dah disediakan dalam mug (TIPS: Cari yang ada rasa suam-suam panas. Baru senang nak telan). Habis minum, tunggulah 2 jam ye untuk dipanggil ambik darah bagi kali kedua. Selesai ambik darah kali kedua tu, kau boleh balik rumah dan tunggu panggilan dari klinik tu samada result kau ok atau tak. TAPI kalau ok tu, klinik tak kan call dah. Kalau tak ok baru dia call untuk buat next prosedur. Bacaan kandungan gula dalam darah yang ok adalah dalam range 6.65 - 7.05 

Teruk ke rasa dia sampai termuntah?

Rasa dia tak teruk mana. Kalau ada rezeki korang, dapatlah air gula yang ada perisa oren, blackcurrent. Macam aku, dapat yang biasa je. TIPS aku nak bagi:

  • Minum waktu air dalam keadaan suam/panas supaya senang telan dan tak rasa perit dekat tekak
  • Kosongkan minda dan fikir DEMI BABY. Mindset tu penting weh!
  • Lepas minum, silakan berbual atau berjalan ke sana sini untuk alih perhatian korang dari fikir nak muntah
  • Kalau rasa ada sisa-sisa air gula melekat dekat mulut lepas minum tu, silakan berkumur. hoho
  • Jangan lupa baca BISMILLAH! hehehe


Ditakdirkan kali pertama aku minum tu, aku tak diberi info yang sepatutnya dan aku masih dalam fasa alahan yang teruk. So, untuk kali pertama ni, aku MUNTAH! Tapi aku muntah dekat dalam kereta. Minum memang habis dan aku tak ada masalah langsung nak telan. Kalau tak silap aku, tak sampai 5 teguk pun minum, dah habis 1 mug tu. Lepas tu, aku dok bersandar rilek macam biasa. Dalam 5 minit lebih kurang aku rasa tak selesa. Kepala rasa seram sejuk. Aku tak expect langsung nak muntah. Tapi aku pergi masuk kereta, bukak aircond sebab aku rasa panas dan nak selesakan diri. Sekali, tak sampai 3 min aku dah muntahkan balik semua air gula tu. Aku tak nak bagitau nurse sebab kalau tidak nanti kena repeat. Aku tak sudi. huhu

Kali kedua aku kena minum sebab berat naik banyak 2 bulan berturut-turut. Doktor risau kalau ada diabetes and baby besar. Makanya, haruslah aku minum. Well, demi baby. huhu Kali ni aku minum memang tak muntah. Air dalam mug tu pun aku minum tak betul-betul habis macam masa first dulu. hahaha cuma yang tak best tu aku dapat yang sejuk dah. So, memang perit je bila air gula tu lalu dekat tekak. Susah nak telan. Lebih dari 10 teguk jugak baru habis tu. Eh tak lah betul-betul habis. Ada baki lagi dalam 5ml lebih kurang. hahaha Alhamdulillah result untuk dua-dua test ni adalah ok. Bebas!

Ni aku nak ingatkan. Minum air gula ni tak lah seteruk seperti yang dicanangkan. Biasalah tu ibu mengandung kena lalui proses macam ni. Semua demi memastikan kita dan baby dalam perut tu bebas dari sebarang komplikasi. Kalau ada pun, boleh elak dan atasi dari awal maslaah yang ada. Nak jadi ibu ni, mental kena kuat. Fikir je demi baby. InsyaAllah semangat datang.

1st Pregnancy : Hb menurun. Hb tu apa?

Assalamualaikum warahmatullah!

Hb. Untuk wanita mengandung, Hb adalah perkara yang paling biasa dan wajib untuk dipantau sepanjang kehamilan. Hb bagi wanita hamil perlu diparas yang sepatutnya untuk mengelakkan perkara yan tidak diingini daripada berlaku kepada ibu dan juga bayi dalam kandungan. Ok. Sebelum cerita mengenai Hb aku, kita cerita dulu pasal Hb ni.

Apa itu Hb?

Secara mudahnya, Hb ni adalah kepekatan darah. Kalau nak cerita lebih sikit, Hb ni merujuk kepada haemoglobin (sel darah merah) yang bawak oksigen ke seluruh badan kita. 

Penting ke pemantauan Hb ni?

PENTING! Hb perlu sentiasa dipantau macam yang aku mention awal tadi. Tujuannya adalah untuk memastikan Hb berada pada paras minimum 11.0. Tak boleh kurang dari 11. Kalau tak, Hb kita akan dianggap rendah dan perlu selalu dengar nurse ulang benda yang sama dekat kita setiap kali check up..hehehe

Apa kesan Hb rendah?

Hb yang rendah akan beri kesan pada ibu dan bayi. Ibu boleh kena anaemia (kurang darah merah), tumpah darah sewaktu bersalin (menyebabkan hilang banyak darah). Bayi pula berpotensi untuk mengalami kelahiran pramatang, saiz bayi kecil dan kemungkinan masalah kesihatan yang lain.

Macam mana nak bagi Hb ok?

WAJIB JAGA PEMAKANAN! Aku mula-mula Hb ok lepas tu tak ok sebab makin menurun. So aku share dari experience sahaja ok. Yang lain boleh refer jugak dalam buku pink yang selalu bawak time pergi check up tu. hehehe

  • Jangan skip makan vitamin/supplement dari klinik (aku sampai set alarm ok!)
  • Banyakkan makan sayuran hijau terutamanya bayam (everyday aku masak & makan bayam.huhu)
  • Makan banyak buah especially jambu batu (awal-awal aku makan jambu batu, lepas tu epal je)
  • Suka makan kekacang? TERUSKAN! (my fav is almond!hee)
  • Makan vitamin dari klinik tu dengan jus buah oren (aku minum twister oren je. tak rajin nak buat jus bagai)
  • Kurma jangan lupa ye!hehehe
  • Elakkan makan vitamin/supplement dari klinik dengan susu/caffein (sejam hingga dua jam sebelum dan selepas makan)
Lepas aku buat semua atas ni, alhamdulillah Hb aku naik agak mendadak (based on rekod sebelum tu lah). Biasanya naik dalam sekitar 0.2-0,5 gitu. Tapi masa check up tiba-tiba naik lebih 1.0. Sheghonok bebenor rasa hati. Haha!

***********************************************************

Ada orang kata amalkan makan minyak kelapa dara. Aku ada makan jugak tujuannya untuk elakkan sembelit waktu mengandung tapi aku tengok tak ada kesan pun dekat Hb aku ni. So, aku simpulkan, bergantung pada individu jugak bab pemakanan ni. Sebab badan kita ni berbeza. hee 

Semoga berjaya menjaga Hb ye para ibu! ehehehe



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...