lama tidak mengekspresi rasa di ruangan maya ini. hidup sebagai seorang pelajar universiti memang padat dengan agenda dan aktiviti. mungkin saya akan cuba untuk mengekspresi dengan baik bagi perkongsian kali ini. maklumlah bila lama tidak mencoret bicara. mungkin tumpul bahasa ibunda. saya mahu bercerita mengenai lisan. ya, lidah, lisan, bicara dan apa sahaja yang berkaitan dengan senjata paling tajam dalam diri manusia ini.
kredit untuk seorang teman yang memberi salinan informasi ketika beliau menghadiri usrahnya. ada beberapa bahagian yang menyebut mengenai akhlak muslim terutamanya ketika sedang berpuasa. hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a ini berbunyi
Rasulullah s.a.w bersabda : jika kamu sedang berpuasa, maka jangan berkata keji, dan jangan marah. dan jika ada orang memaki atau mengajak berkelahi, hendaklah diberitahu "saya berpuasa"kita sering mendengar bagaimana kuasa yang dimiliki lidah ini akhirnya mampu untuk membawa kepada perubahan yang besar. contoh yang dekat di hati, nasihat dan teguran dari seorang insan membawa kepada perubahan insan yang ditegur. contoh negatifnya, dengan lidah jugalah penyebaran fitnah yang berakhir dengan permusuhan berpanjangan itu timbul.
ketika zaman Rasulullah s.a.w sahaja pelbagai fitnah melanda hidup baginda. ingat lagi bagaimana isteri kesayangan baginda, Saidatina Aisyah r.a telah difitnah dengan tuduhan yang amat berat? beliau dikatakan telah berzina dengan Safwan Muattal al-Sullami. keadaan ini terus berlarutan sehingga sebulan lamanya. Saidatina Aisyah r.a mengasingkan diri di rumah orang tuanya. Rasulullah s.a.w pula tidak tahu apa yang perlu dilakukan. setelah sebulan berlalu, Allah s.w.t menurunkan wahyu kepada baginda sekaligus membersihkan nama Saidatina Aisyah r.a. firman di dalam surah An-Nur ayat 11 ini bermaksud
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
sedangkan Rasulullah s.a.w yang merupakan semulia-mulia insan di muka bumi ini turut tidak terlepas daripada menjadi mangsa mereka yang mempunyai hasad, inikan pula kita hambaNya yang tiada apa yang istimewa. jagalah tutur kata. diam itu sesungguhnya lebih baik berbanding kata-kata kosong yang dikeluarkan.
gunakan nikmat kurniaan Allah s.w.t ini untuk tujuan kebaikan. nasihat dan menegur apa yang perlu. alunkan zikrullah dan kalamullah. lembutkan lidah itu dengan kata-kata yang indah untuk didengar. bukan lidah itu sampai tersilap fungsinya. dari situlah keluar kata-kata keji. dari situ juga punca segala kesumat dan dengki. dari situ lahirnya punca permusuhan yang tiada henti. semoga kita semua dipelihara Allah s.w.t daripada segala perbuatan yang mengundang saham untuk ke neraka.
No comments:
Post a Comment