selesai kelas pengurusan pentas dan tiba di kolej kira-kira jam 11 pagi, langkah disusun menuju ke dewan. ada slot bedah buku bersama penulis buku tokoh pejuang Islam zaman kebangkitan Uthmaniah - SULTAN MUHAMMAD AL FATEH. pemimpin yang sangat saya kagumi semangatnya. dia seorang yang biasa tetapi seorang pemimpin berwibawa. bukan dari kalangan nabi dan rasul. namun semangat dan kepimpinannya membuatkan saya terlalu merindui zaman Rasulullah s.a.w. kalau Sultan Muhammad sahaja sudah mempunyai peribadi yang sebegitu indah, apalagi dengan baginda Rasulullah s.a.w?
saya sudah miliki buku ini kira-kira setahun yang lalu. sepanjang pembacaan, sungguh saya begitu kagum dengan beliau. inilah insan yang lahir sebagai generasi al-Quran. sejak kecil dibesarkan dengan al-Quran, hidup juga berpandukan al-Quran. sunnah nabi menjadi panduan. kesannya, zaman inilah tiada jenayah yang berlaku kerana diwaktu ini, yang ada hanya sebaik-baik raja, sebaik-baik tentera dan sebaik-baik rakyat. bayangkan betapa amannya suasana jika keadaan ini berlaku di bumi kita hari ini. segala puji hanya untuk ALLAH!
di akhir slot, ada sedikit tayangan mengenai tokoh ini. perjuangan yang penuh bersemangat untuk menawan Kota Konstantinopel. sedar-sedar air mata saya menitis. sungguh saya berasa sangat hina, sangat sedih, sangat kecewa dengan keadaan diri. lihat sahaja bagaimana tokoh-tokoh Islam terdahulu berjuang bermati-matian demi menegakkan Islam di muka bumi. hasilnya kini, Islam sudah tersebar ke seluruh dunia. apa yang kita lakukan pula? goyang kaki di rumah, leka dengan urusan dunia, lupakan syariat yang dibawa junjungan mulia, Rasulullah s.a.w. semua kerana kita sudah berada dalam zon selesa.
zaman awal penyebaran Islam dahulu, ingat lagi bagaimana sukarnya Rasulullah berdakwah? sangat banyak onak dan ranjau. baginda dihina, diherdik, dimaki, difitnah dan bermacam lagi perkara pahit yang baginda tempuhi. umat Islam yang bilangannya sedikit pada waktu itu diseksa dengan seksaan yang bukan calang-calang. Bilal bin Rabbah di salib sesuka hati. dijemur di tengah padang pasir yang panas. tidak cukup lagi, diletakkan pula batu yang besar di atas dadanya. semua itu bertujuan untuk menjadikan Bilal meninggalkan Islam. keluarga Yasir pula, sehingga Rasulullah bersabda bahawa syurga telah dijanjikan untuk mereka. Sumayyah menjadi umat Islam pertama yang gugur syahid. anak lelakinya, Ammar bin Yasir, menyaksikan sendiri ibunya syahid.
ramai lagi umat Islam terkorban di saat itu. semua kerana apa? KERANA MEMPERTAHANKAN KEIMANAN KEPADA ALLAH DAN RASUL. hebatnya iman mereka di saat itu! ditarbiyah, didik, diasuh secara langsung oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. dalam keadaan yang sentiasa ditindas, diancam, mereka tetap teguh mengerjakan segala ibadah dengan istiqamah.
bagaimana pula dengan kita? dalam keadaan kita yang hidup selesa sedangkan zaman para sahabat dahulu hidup dalam ketakutan, kita terus leka. ibadah sering dilewat-lewatkan. sudahlah dilewat-lewatkan, penuh dengan cacat celanya. inikah cara kita mempersembahkan hadiah kepada Pemilik kita?? astaghfirullah.
dalam keadaan kita sibuk mengejar dunia, kita lupa pada tujuan utama kita di dunia ini. kita sibuk mengumpul harta tapi kita lupa mengumpul saham akhirat. betapa lekanya diri. betapa alpanya diri. betapa hinanya diri yang sentiasa melupakan Maha Pencipta. Walau sering kita lupakanNya, Dia terus memberikan kasih sayangnya pada kita. tidak dicabut terus nyawa insan berdosa ini. segala pemberianNya adalah bukti Pemurahnya ALLAH. untuk semua oksigen yang dibekalkan, untuk semua air yang mengalir dan kita gunakan, untuk semua organ dan alam yang bekerja mengikut sunnatullahNya, tidak langsung kita perlu bayar. sebaliknya semua ini terus diberi sedang kita terus melupakanNya. astaghfirullah!
kini kita mudah untuk melakukan ibadah. sebut sahaja di mana. rumah, masjid, surau, hotel? di mana sahaja ada disediakan tempat khas untuk solat. beribadahlah dengan tenang tanpa ancaman sesiapa. beribadahlah dengan selesa tanpa ketakutan.
buat diri dan seluruh umat Islam, kita adalah umat akhir zaman. umat yang banyak dugaan kehidupannya. namun kita perlu kuat menempuh setiap dugaan yang hadir. semua itu tarbiyah dari ALLAH kepada hambaNya. hadapi dengan tabah. berpegang pada syariat Islam. binalah perisai dan benteng dalam diri untuk menepis segala godaan dunia. semoga syurga milik kita. aminn
ya Allah, ampunkan aku untuk setiap perkara yang aku ucapkan tapi tidak aku laksanakan. redhalah untukku atas segala perkara yang aku kerjakan. permudahkanlah urusan dunia akhiratku supaya aku mampu menggenggam kejayaan.
No comments:
Post a Comment