Bittaufik Wannajah Fil Imtihan. (Tips Menghadapi Peperiksaan)

Bermula minggu depan, boleh dikatakan kebanyakan daripada mahasiswa dan mahasiswi akan menduduki peperiksaan akhir semester. Bagi mereka yang berada di tahun dua,tiga atau tahun akhir,mungkin situasi ini sudah biasa ditempuh.

Apapun, dalam mood antara sejuk panas membuat persiapan dan bermuraja'ah mana yang patut, saya ingin kongsikan beberapa petua untuk menghadapi imtihan. Petua ini hanyalah beberapa petua umum yang saya yakin sudah sedia diketahui oleh majoriti daripada kita, tetapi atas konsep ''wazakkir'' (dan berilah peringatan), ayuh kita renungkan bersama.

1- Jangan tinggalkan doa & solat hajat
Kadangkala kita terlupa untuk berdoa dalam kesibukan kita berusaha. Adakala, waktu mustajab berdoa pun kita tidak berapa peka. Contohnya selepas solat 5 waktu. Kalau boleh, lazimkan diri berdoa secara khusus untuk pelajaran dan untuk imtihan. Bukan hanya ketika hampir imtihan sahaja, tetapi setiap hari. Khususnya sebelum memulakan kuliah dan pelajaran di kelas. Juga jangan lupa untuk solat hajat khusus untuk imtihan yang akan kita tempuh.

2- Bersedekah
Antara keberkatan bersedekah adalah diluaskan rezeki oleh Allah ta'ala. Rezeki bukan berupa harta semata-mata tetapi juga berupa kejayaan dalam pelajaran. Justeru, biasakan diri bersedekah sekurang-kurangnya pada hari jumaat bagi meraih keberkatan tersebut.

3- Lazimi membaca Al-Quran
Antara cara untuk menjernihkan hati adalah dengan zikrullah, manakala zikrullah yang paling afdhal adalah membaca Al-Quran. 
Sabda Nabi s.a.w : " apabila anak adam melakukan suatu dosa, maka satu titik hitam akan melekat pada hati mereka..''

Justeru atas kesedaran tentang betapa lemahnya kita yang seringkali terjebak dengan dosa baik secara sedar atau tidak , maka Al-Quran adalah penawar yang paling mujarab untuk menanggalkan titik-titik hitam di dalam hati kita. Seeloknya, sebelum mengulangkaji atau menghafal madah, terlebih dahulu ambillah sedikit masa untuk membaca Al-Quran.

4- Hafal '' mana yang patut ''
Jangan bebankan otak kita untuk menghafal perkara-perkara yang ''tidak patut'', sebaliknya kenal pasti apa yang patut dihafal dan mana yang tidak. Adakala, sesetengah subjek memerlukan lebih kepada kefahaman berbanding menghafal. Sebaliknya ada juga subjek yang memerlukan lebih kepada hafalan , contohnya takrif istilah. Jika kita tidak bijak membezakan kedua perkara tersebut, dikhuatiri otak kita cepat penat seterusnya mengurangkan kualiti pembelajaran kita.

5- Buat nota
Sebenarnya ada manfaat tertentu kepada mereka yang gemar menulis. Perhatikan, ada orang kerjanya memang suka menulis, manakala ada orang lebih suka mendengar. Orang yang suka menulis akan menulis apa sahaja yang dia dengar atau maklumat yang dia dapat, tetapi sesetengah orang tidak begitu. Jika kita seorang yang rajin membuat nota , meskipun kita tidak menghafal secara langsung, tetapi menulis nota itu sendiri sebenarnya merupakan satu proses hafalan secara tidak langsung kepada kita.

6- Study smart
Sememangnya cara belajar akhir waktu atau last minute bukanlah cara yang baik untuk dipraktikkan. Sebaiknya, kita telah mempunyai jadual ulangkaji yang konsisten dari awal lagi. Justeru, bila mampir ke tarikh imtihan, kita tidak perlu kalut untuk mengulangkaji kesemua bab secara 'terdesak'.

7- Kembali ikhlaskan niat
Kadang-kadang, bila semakin lama belajar, dan bila mampir ke tarikh imtihan, minda kita terlalu 'memaksa' untuk menjadi yang terbaik dan melakukan yang terbaik. Itu bukanlah sesuatu yang negatif sebenarnya. Tetapi adakala, kita boleh terlupa tujuan kita menuntut ilmu itu sendiri. Sesungguhnya niat kita bukan hanya untuk 'menang' di atas kertas, sebaliknya kita mahu menyimpan ilmu itu benar-benar di dalam dada kita. Justeru tidak akan timbul soal belajar hanya untuk imtihan dan sebagainya. Juga, kita tidak akan merasa 'down' andai kata markah yang diperolehi tidak seperti yang kita sasarkan.


8- Meminimakan perkara2 yang boleh melalaikan
Jika seseorang itu benar2 mahu sukses, maka ini antara mujahadah terbesar yang perlu dilakukan. Bukan mudah sebenarnya untuk menjauhkan diri dari perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Contohnya menonton filem, bermain game, melayari internet dan selainnya. Kecuali jika kita bijak membataskan masa, maka tidak akan menjadi masalah. Jika tidak, peratusan tumpuan kita akan terjejas. Banyak atau sikit, ia tetap akan menjejaskan. Jadi, kalau kita mampu, eloklah kita mufaraqah dari perkara-perkara tersebut sekurang-kurangnya sewaktu hampir imtihan.


9- Doakan guru
Antara punca keberkatan adalah keredhaan dari guru yang mengajar. Meskipun kita tidak rapat dengan pensyarah, setidaknya jangan tinggalkan mereka dalam setiap doa kita. Mintalah pada Allah supaya guru kita tersebut diberikan kesihatan serta kebaikan yang berpanjangan. InsyaAllah, ilmu yang kita dapat akan diberkati dan proses kita dalam menghadapi imtihan juga akan dipermudahkan oleh Allah.

10- Minta doa dari ibu bapa
Mintalah restu dari kedua ibu bapa kita dan minta mereka doakan kita supaya dipermudahkan dalam menempuh peperiksaan. Semoga redha dari kedua mereka akan memudahkan proses pembelajaran kita dan memberi kelapangan kepada hati kita untuk menduduki imtihan yang akan datang.

Akhirnya, jangan lupa bertawakkal dan bergantung kepada Allah atas segala usaha yang telah kita lakukan. Sesungguhnya apa sahaja yang ditimpakan kepada kita baik berupa nikmat atau musibah, ada terkandung hikmahNya yang tersendiri. Semoga Allah melapangkan hati setiap daripada kita dan mempermudahkan urusan pengajian kita bersama. InsyaAllah.


sumber dan diedit dari laman http://hafizquran.blogspot.com/

Forum Kembara Hijrah (29/11/2011)

Panel :
- Ustaz Ramadhan Fitri
- Sham Kamikaze

Hijrah itu adalah meninggalkan
"sebaik-baik hijrah adalah hijrah meninggalkan larangan Allah s.w.t” – HR At-Tabarani

Jangan bimbang tidak diampunkan Allah KERANA KITA SENTIASA MERASAKAN KITA TERLALU BANYAK DOSA KEPADA ALLAH TETAPI KITA LUPA PENGAMPUNAN DARI ALLAH LEBIH BESAR

Perlu benar-benar NIAT dan TEKAD untuk berubah. Tidak putus BERDOA dan sentiasa USAHA berubah mencapai niat dan tekad.
Lebih ramai manusia yang ‘mendapat hidayah’ ketika berada di alam kubur iaitu setelah mereka rasa menyesal kerana enggan berubah dan bertaubat selama berada di dunia

13 tahun dakwah Rasulullah s.a.w di Mekah, baginda berjaya menanamkan keyakinan aqidah dan tauhid dalam diri sahabat. Sedangkan pada waktu itu, SOLAT, PUASA, ZAKAT, HAJI belum lagi diwajibkan.
Baginda berjaya melahirkan modal insan yang unggul dengan AQIDAH yang sejahtera. inilah golongan modal insan yang terbaik dan unik sekali, generasi yang dikatakan sebagai generasi emas dan dikatakan tidak akan wujud lagi generasi seperti itu lagi. generasi yang mendapat tarbiyah dan didikan terus dari Rsulullah s.a.w. cemburunya!

Suhayb Al-Rumi datang sehelai sepinggang ke Kota Mekah dan menjadi kaya hasil perniagaan bermodalkan bantuan pihak Quraisy kemudian meninggalkan kekayaannya semata-mata mahu mengikut Rasulullah s.a.w berhijran ke Yathrib.

Mus’ab ibn Umair merupakan DUTA ISLAM PERTAMA KE MADINAH. anak bangsawan yang sangat dikasihi ibunya tetap enggan meninggalkan Islam walau ibunya hamper mati kerana tidak mahu makan minum selama Mus’ab tidak kembali menyembah berhala. setelah memeluk Islam, hidup dalam keadaan daif hingga Rasulullah s.a.w menangis melihat keadaannya. Dilantik Rasulullah s.a.w sebagai naqib atau idola di Madinah  Berdakwah di Madinah hingga lahir Bai’ah Aqabah kedua dengan jumah yang berkali ganda dari Bai’ah Aqabah pertama. Gugur di medan Uhud sewaktu ditugaskan memegang panji Islam

Abu Bakar As-Siddiq tersangat mahu mengikut Nabi s.a.w berhijrah dan menanti perkhabaran dari Baginda. Tidak sekadar menanti kosong, Abu Bakar telah menyiapkan 2 ekor unta yang paling baik dan sihat buat tunggangan mereka berdua. namun Rasulullah s.a.w menolak untuk mengambil jika unta itu bukan dibeli Baginda sendiri. Di dalam Gua Thur, beliau telah memberi pehanya sebagai bantal buat Rasulullah yang keletihan dan tercungap-cungap setelah memanjat untuk masuk ke dalam gua.  Menghalang haiwan berbisa yang cuba menyengat Rasulullah s.a.w hingga sewaktu baginda terjaga, wajah Abu Bakar sudah kebiru-biruan.  Kemuliaan Abu Bakar telah dicatatkan di dalam Al-Quran (At-Taubah, 40).

apa ibrah yang dapat diambil dari kisah para sahabat? mereka semua sanggup berkorban apa sahaja demi Islam dan aqidah mereka. bagaimana pengorbanan Suhayb yang sanggup kehilangan kekayaan yang dimiliki demi mencari dan mengejar cinta Ilahi. Mus'ab Ibnu Umair pula yang dahulunya golongan bangsawan dan pakaiannya sentiasa diperbuat daripada sutera hingga waktu syahidnya beliau, kain kafan tidak cukup untuk menutup kesemua jasadnya. hingga ada riwayat yang mengatakan jika ditarik ke atas, akan kelihatanlah kakinya. jika ditarik ke bawah, akan kelihatanlah kepalanya. Abu Bakar As-Siddiq pula, sahabat yang paling setia hingga sanggup menemani Baginda s.a.w walau sudah diketahui kaum Quraisy memang telah merancang untuk membunuh Rasulullah s.a.w

APA TINGKAT KEIMANAN KITA KINI?

APA YANG KITA LAKUKAN UNTUK ISLAM?

ADAKAH PENGORBANAN YANG KITA LAKUKAN KINI SUDAH CUKUP JIKA MAHU DIBANDING DENGAN UMAT TERDAHULU?

Allahu rabbi.. kuatkanlah diriku dalam mencari redhaMu. kuatkan diriku dalam menyulam semangat juang demi IslamMu. ameen ya rabb

HIJRAH

demam tahun baru hijrah bbenar-benar membuat hati basah dengan rasa bahagia.
perkongsian kali ini saya titipkan lagu dari UNIC bertajuk HIJRAH.lirik dan bait kata lagu ini benar-benar menyentuh dan mendamaikan hati.
biar apa pun yang berlaku, biar apa pun yang menghalang,
KU PASTI HIJRAH KERANA ALLAH S.W.T

ayuh kita sama-sama berhijrah! titipkan doa kalian agar saya kekal istiqamah dalam penghijrahan ini. jazakallah khairan kathiran. ^__^


Sering daku terkenang
Hijrah gemilang
Berubah dunia
Gelap menjadi terang

Berguguran air mata
Tidak kurasa
Meski bibir tanpa suara
Ku terus berdoa

Biar nafas menjadi lelah
Kupasti hijrah kerana Allah
Biar kakiku terasa lemah
Menyusuri kekasih-Mu ya Allah

Pengorbanan abadi
Menerangi bumi
Hijrah bagai hujan
Menyuburi hati

Hijrah satu kebenaran
Sepanjang zaman
HIjrah satu kemenangan
Musafir perjuangan

1433H

subhanallah..alhamdulillah.

beberapa minggu sebelum kedatangan awal muharram 1433H, saya asyik merasakan ada sesuatu yang menggembirakan akan berlaku. demi Allah saya amat yakin saya akan mendapat sesuatu yang lama saya nantikan tapi saya tak pasti apakah dia.

menjelang hujung minggu, saya mula sibuk dengan aktiviti kolej. jumaat petang sebelum maghrib menjengah, saya lakukan rutin kebiasaan saya. buka facebook dan lihat apa-apa info terkini dari teman jauh dekat, saudara-mara yang jauh di mata dekat di hati, persatuan-persatuan yang saya sertai. tiba-tiba mendapat request friend dari seorang sahabat yang boleh saya katakan antara sahabat yang terbaik dalam hidup saya yang saya senangi dan sangat saya rindu untuk bertemu dengannya.

mungkin Allah telah memperkenankan doa saya selama ini agar dikurniakan sahabat yang baik dan boleh berjalan beriringan dengan saya dalam menempuh kehidupan di dunia ini menujuNya. sungguh saya terasa mahu mengalirkan air mata kerana terlalu terkesan dengan pelukan kasih sayang Allah s.w.t yang Maha Mengetahui apa yang tertulis di hati ini.

hubungan yang terpisah sejak tahun 2002 kembali terjalin setelah sekian lama dan tidak hambar. benarlah ukhwah kerana Dia itu terlalu indah. sangat indah hingga saya sukar untuk menganyam kata bagi menghasilkan baris yang boleh dimengerti. 

"bila kita benar-benar mahu berubah, Allah akan mengirim buat kita sahabat yang baik buat membantu kita merealisasikan hasrat kita itu" - wardina safiyyah



bagi saya Allah telah begitu banyak mengirimkan saya insan-insan yang bisa membawa saya menujuNya. cuma diri ini yang degil untuk melihat dan menilai dengan baik. Endang, Fatin Darinthi, Asrin, Tahieyah, Ayu, Piqa, dan yang terkini, Aimi Ajlaa.

kini saya mengerti mengapa saya terlalu gembira tatkala 1433H bakal menjelma. rupanya Allah telah mentakdirkan saya untuk menjalin kembali ukhwah yang dibiar sepi sekian lama tanpa berita. rupanya Allah membuat saya kembali merenung diri mencari makna sebenar kehidupan bersama saudara-saudara seaqidah yang mungkin saya terlepas pandang untuk dititikberatkan sebelum ini.

semoga semua teman ini sentiasa bersama saya menyulam persahabatan dalam keimanan. jangan jalan di belakang atau di hadapan saya. sebaliknya jalanlah beriringan dengan saya. moga-moga tatkala saya terjatuh atau tersadung, ada tangan yang menyambut membantu saya untuk berdiri semula. I LOVE ALL OF YOU FOR THE SAKE OF ALLAH TA'ALA.


Sebak.

Dengan nama Dia yang sentiasa mencurahkan rahmat, kasih sayang dan keampunan kepada hamba-hambaNya. semoga kita semua antara insan yang tidak terkecuali mendapatkannya.

lebih sebulan tidak mencoret kata di laman ini. sedang cuba menstabilkan keadaan diri yang semakin kucar-kacir. *masih belum bijak mengurus masa dengan sebaiknya.aduhai~
Aidiladha telah berlalu. Awal Muharram pula bakal menjengah. saya tak tahu mengapa hati begitu menanti detik itu tiba. sebak dengan perkataan hijrah. sebak tatkala mengimbas kembali pengorbanan para sahabat dalam peristiwa hijrah. bertambah sebak pabila melihat situasi diri dan masalah umat.

akukah sebenarnya yang membuat onar dalam agama yang aku anuti?

akukah sebenarnya yang dikatakan hadis di mana Rasulullah s.a.w menangis tatkala melihat umat akhir zaman?

adakah aku inilah hambaNya yang seolah mempersenda dan memperguna sifat Dia yang Maha Pengampun, Maha Menerima Taubat itu?

aku inikah hambaNya yang paling hina kerana sentiasa melupakan Dia di saat aku senang, dan mengingatiNya di saat aku kesempitan?

akukah yang termasuk dalam golongan yang celaka? yang hari ini lebih teruk dari semalam, dan esok lebih teruk dari hari ini; yang hanya bercakap dan menasihat tapi tidak aku lakukan?



ALLAH...
menyebut namaMu dalam susah dan senang.
menyebut namaMu membawa ketenangan yang sukar digambar dengan bait kata
menyebut namaMu membuatku semakin kuat menghadapi ujian dariMu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...